Monday, 10 March 2014

Graduan Kelas Pertama terima Tawaran Kerja



Kota Bharu - Ketika sesetengah lepasan universiti mengalami kesukaran mencari pekerjaan , graduan kelas pertama Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang telah menyertai majlis konvokesyen yang lepas bukan sahaja menerima segulung ijazah , bahkan turut menerima surat tawaran sebagai pensyarah muda di UMK

Ia dimaklumkan Naib Canselor UMK , Prof. Datuk Dr. Raduan Che Rose semasa berucap di majlis perasmian logo pesta konvokesyen UMK kali ke-3 yang lepas . 

"Pada konvokesyen kali ini , selain daripada ijazah , Senat telah bersetuju dan kita telah bawa pengurusan , bahawa semua yang mendapat ijazah kelas pertama akan menerima segulung ijazah dan tawaran sebagai pensyarah muda di UMK." Katanya . 

Pada sidang akhbar selepas itu , Raduan menjelaskan pengambilan graduan cemerlang itu bertujuan untuk menampung keperluan bilangan pensyarah seiring dengan peningkatan bilangan pelajar di institusi itu . 

" ini sebenarnya dalam kerangka yang lebih besar sebab kami sedang mencari seramai 60 orang pelajar kelas pertama dari setiap universiti didalam dan luar negara termasuk dari UMK sendiri ."

"Mereka ini akan kami didik , bagi mentor dan dihantar terus mengikuti pengajian doktor falsafah ke luar negara atas tajaan biasiswa UMK sendiri dan mereka akan jadi pensyarah UMK pada masa depan."

"UMK sedang berkembang pesat dan akan mempunyai 10 000 pelajar pada tahun 2014 . Dalam masa yang singkat kita meningkatkan jumlah pelajar dan mereka yang kami hantar tadi akan balik menjadi pensyarah." Katanya . 

Menurut Raduan lagi , pada masa ini , UMK mempunyai sekitar 500 orang tenaga pengajar dan pada konvokesyen kali ini seramai 7 orang pelajar yang mencapai keputusan kelas pertama ditawarkan dengan tawaran kerja tersebut.